IPOH– Seorang atlet Futsal wanita dari kontinjen Sabah disyaki terkena jangkitan saluran pernafasan manakala 11 orang lagi dalam kontinjen sama dikesan mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan ringan.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Howard Lee, siasatan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Manjung mendapati atlet Sukan Malaysia (SUKMA) itu mengalami gejala demam pada 2 September dan bengkak di kedua belah leher sejak 3 September.

“Kes mempunyai sejarah kontak dengan kes disyaki beguk (mumps) semas menjalani latihan di Sabah pada pertengahan Ogos lalu.

“Mereka yang terkena jangkitan telah diberikan rawatan dan sampel klinikal untuk pengesahan diagnosis telah diambil, kesemua atlet yang bergejala juga diasingkan untuk pemantauan status kesihatan, keadaan adalah terkawal,” ujar Howard.

Beliau berkata demikian kepada media dalam satu sidang media khas bersama Sekretariat SUKMA, Majlis Sukan Negara dan negeri di Hotel Casuarina, Meru di sini pada Ahad.

Yang turut sama Pengarah Majlis Sukan negeri Sabah, Terrance Edward Pudin.

Susulan dari kes tersebut, Howard turut memaklumkan pertukaran jadual perlawanan Futsal lelaki dan wanita bagi kontinjen negeri Sabah.

Ujarnya, pelan tindakan itu ditetapkan menerusi mesyuarat bersama kontinjen dari seluruh negeri, bagi menetapkan status keputusan bagi negeri Sabah.

“Kami sebulat suara memutuskan pertukaran jadual perlawanan kontinjen negeri Sabah kepada Selasa, 11 September, ini kerana kami masih menunggu keputusan ujian saringan yang dilakukan kepada atlet yang terkesan.

“Andai keputusan ujian saringan itu positif maka kontinjen Futsal Sabah diberi piihan untuk menukar atlet mereka yang berjangkit kepada atlet Sabah yang baharu,” katanya.

Dalam pada itu, Terrance ketika ditemui menyambut baik keputusan dan langkah penyelesaian yang dilaksanakan oleh pihak yang terbabit.

“Terima kasih di atas peluang yang diberikan kepada kontinjen Sabah, saya menghargai tindakan penganjur dan mewakili negeri Sabah untuk menzahirkan penghargaan kepada para doktor yang terlibat.

“Saya yakin secara keseluruhannya, keputusan sebegini akan dibuat bukan sahaja SUKMA di Perak tetapi juga di negeri-negeri lain,”katanya.