IPOH, 10 JAN – Kerajaan negeri Perak berhasrat memberi keutamaan kepada para atlet untuk mengisi kekosongan jawatan dalam kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di negeri ini.

Exco Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed berkata, perkara itu telah dikemukakan dalam Mesyuarat Exco dan akan disusuli kertas cadangan dalam waktu terdekat.

Menurutnya, langkah itu dilihat penting bagi memastikan kebajikan atlet di negeri ini terjaga selain mengelakkan mereka berpotensi ini ‘dipancing’ negeri lain.

“Saya sebenarnya amat menekankan perkara ini. Namun bukan bermakna mereka ini ada jalan pintas tapi perlu juga ikut proses sama dari seperti temu duga dan sebagainya, tetapi mesti diberikan merit lebih berbanding orang lain atas dasar mereka dah berkorban untuk negeri.

“Ramai sebenarnya atlet di negeri ini yang berkhidmat dengan negeri-negeri lain. Terbaharu atlet petanque yang ditawarkan kerja oleh negeri lain kerana bakat yang ada. Kita cuba pertahankan dia untuk kekal tapi tidak berjaya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Tarik Tali Negeri Perak di sebuah hotel di sini pada Sabtu.

Hadir sama pada majlis itu, Presiden Persatuan Tarik Tali Malaysia, Abdul Halim Abdul Ghani dan Presiden Persatuan Tarik Tali Negeri Perak, Datuk Azizul Kama Abdul Aziz.

Khairul Shahril berkata, beliau juga berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) dan GLC negeri dapat melihat perkara tersebut bagi memastikan Perak tidak kehilangan atlet berbakat.

Menurutnya, kerjaya sebagai atlet tidak harus dilihat sebagai tiada masa depan oleh ibu bapa dengan menganggap ia hanya membuang masa dan tidak akan mendapat pekerjaan yang stabil.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kerajaan negeri Perak akan menyokong usaha Persatuan Tarik Tali Malaysia untuk membawa sukan tersebut ke peringkat Sukan Malaysia (Sukma) dan Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA).

Untuk peringkat awal, katanya mungkin sukan tarik tali boleh dijadikan sebagai sukan demonstrasi sebelum disenaraikan sebagai sukan yang mempunyai pingat.