KUALA LUMPUR, 29 DIS : Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengesahkan portal rasmi miliknya telah digodam.

Menurut Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Affendi Buang, insiden itu telah dikesan oleh Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan (BSEP) serta Pusat Operasi Pertahanan Siber (CDOC) ATM.

“Sebaik serangan bermula, BSEP dan CDOC telah melaksanakan pengasingan trafik data bagi tujuan mengaburkan lokasi sebenar data-data berdarjah seterusnya melindungi rangkaian yang menjadi sasaran penggodam.

“Serangan siber tersebut gagal menjejaskan operasi portal sebenar sebaliknya hanya berjaya menggodam segmen tertentu yang telah diletakkan di luar rangkaian sejak awal lagi,” katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.

Mengulas lanjut, Affendi berkata ATM juga menyedari wujudnya cubaan serangan siber yang berterusan terhadap rangkaian maklumat yang dimiliki oleh pihak Kementerian Pertahanan dan ATM.

“Justeru, ATM sentiasa memantau dan mempertingkatkan aspek keselamatan siber dari semasa kesemasa terutama melalui peranan BSEP dan CDOC yang bukan sahaja memperkukuhkan rangkaian pemantauan dan pertahanan komunikasi ATM malah melindungi rangkaian komunikasi strategik pertahanan Negara.

“Aspek keselamatan siber Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa bersiap sedia bagi memastikan segala ancaman yang mengganggu rangkaian komunikasi pertahanan dapat dikesan awal seterusnya ditangani sewajarnya,” jelasnya. – AWANI