KUALA TERENGGANU: Ayahanda saudara Sultan Terengganu Tengku Sri Laksamana Raja Tengku Sulaiman ibni Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah mangkat hari ini.

Menerusi kenyataan rasmi, Setiausaha Sulit kepada Sultan Mizan Zainal Abidin, Hadi Hassan berkata Almarhum Tengku Sulaiman mangkat kira-kira pukul 10.15 pagi di Gleaneagles Hospital, Kuala Lumpur.

Jenazah akan diterbangkan dari Kuala Lumpur pada pukul 4.00 petang dengan pesawat khas ke Kuala Terengganu.

Penghormatan terakhir dan istiadat pemakaman dijadualkan bermula pukul 7.00 malam ini dengan keberangkatan Sultan Mizan dan Sultanah Nur Zahirah serta kerabat terdekat di Balai Islam, di sini.

Selepas itu, jenazah akan disembahyangkan serta dibawa ke Makam Diraja Masjid Abidin.

— BERNAMA