KUALA LUMPUR: Ketidakhadiran Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan dua timbalannya, Datuk Abdul Rahim Bakri dan Mohd Shahar Abdullah mendapat perhatian Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman.

Azalina menegaskan sekiranya menteri tidak dapat hadir, timbalannya perlu berada dalam Dewan Rakyat mendengar perbahasan tentang Belanjawan 2021.

Timbalan Speaker itu menjelaskan, beliau bersetuju dengan soalan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer yang ingin tahu di mana menteri kewangan atau timbalannya berada ketika sesi berlangsung.

“Saya setuju dengan apa dikatakan Rayer sebelum ini dan saya percaya sama ada menteri kewangan (Tengku Zafrul) atau timbalannya harus berada di sini untuk mendengar perbahasan belanjawan.

“Saya tahu semua orang sibuk tetapi belanjawan adalah isu penting. Namun, saya tidak melihat ada menteri di sini.

“Para penyokong kerajaan perlu sampaikan hal ini kepada mereka,” kata Azalina pada akhir sesi persidangan hari ini.

Pengerusi Kelab Penyokong Perikatan Nasional (PNBBC) Datuk Seri Shahidan Kassim mencelah dan memaklumkan bahawa beliau difahamkan menteri dan timbalannya menghadiri mesyuarat.

Sebelum itu, Rayer membangkitkan hal sama kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, yang menjelaskan tiada peruntukan mewajibkan menteri atau timbalannya mesti berada di Dewan Rakyat ketika perbahasan belanjawan yang telah dibentangkan.