IPOH: Amalan selalu membuat latihan bagi mematangkan suara dan mengelak makanan pedas dan minuman berais merupakan rahsia kejayaan Pensyarah Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Anuar Hasin, 23, yang dinobatkan sebagai Johan Qari MajlisTilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Perak 2017.

Anuar yang merupakan johan qari lima kali Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Perak berazam untuk mencipta kejayaan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa pula.

“Apa yang penting saya perlu rajin membuat latihan untuk mematangkan suara selain mengelak makanan pedas, berminyak dan minuman berais yang boleh menjejaskan suara saya,’’ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas diumumkan sebagai johan qari Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Perak 2017 di Pusat Konvensyen Casuarina @ Meru, Ipoh pada Selasa.

Sementara itu johan qariah, Munirah Razali, 25, yang kini bertugas sebagai guru KAFA di Manjung berkata, beliau menjalani latihan bagi meningkatkan ilmu kemahiran bersuara dan tidak berputus asa.

“Saya pernah menjadi johan qariah peringkat negeri Perak pada tahun 2013 dan kali ini merupakan kali kedua,’’ katanya.    

Menurutnya, sasaran beliau ialah untuk muncul johan qari di peringkat kebangsaan tahun ini yang akan diadakan di Air Keroh Melaka pada 2 – 8 April ini.

Anuar dan Munirah masing-masing membawa pulang wang tunai RM7,500, pakej menunaikan fardhu haji bernilaio RM10,000, hadiah iringan beserta sijil penyertaan.