KUALA LUMPUR: Datuk Azhar Azizan Harun dan Datuk Mohd Rashid Hasnon memohon membatalkan saman difailkan Tun Dr Mahathir Mohamad dan empat lagi bagi mencabar pelantikan mereka sebagai Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Perkara itu dimaklumkan peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali, yang mewakili Dr Mahathir ketika pengurusan kes secara e-review di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Shahid.

Notis permohonan itu difailkan Azhar dan Mohd Rashid pada 7 Ogos lalu menerusi Tetuan Tetuan AmerBON.

Defendan berkata, perkara yang terkandung dalam saman pemula plaintif adalah termaktub dan tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

“Sehubungan itu, apa jua perkara yang berkaitan dengan urusan Parlimen tidak tertakluk kepada bidang kuasa mahkamah dan apa jua prosiding Parlimen tidak boleh diadili atau dihakimi oleh mahkamah selaras dengan Artikel 63(1) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan 13 Ogos ini untuk pengurusan kes.

Selain Dr Mahathir, turut memfailkan saman pemula itu ialah Ahli Parlimen Jerlun, Mukhriz Mahathir; Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik; Ahli Parlimen Kubang Pasu, Amiruddin Hamzah dan Ahli Parlimen Sri Gading, Shahruddin Md Salleh.

Dalam saman pemula itu, plaintif turut menamakan Datuk Mohd Rashid Hasnon dan Nizam Mydin Bacha Mydin, masing-masing selaku defendan ketiga dan keempat.

Melalui saman pemula itu, plaintif menuntut pengisytiharan pelantikan Azhar dan Azalina sebagai Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat pada 13 Julai 2020 adalah tidak sah, tidak menepati serta bercanggah dengan Perlembagaan atau Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan.

Plaintif turut meminta selepas pengosongan jawatan Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof sebagai Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, ahli Dewan Rakyat diberi peluang mencalonkan pilihan masing-masing bagi jawatan itu.

Saman itu turut meminta pengisytiharan kerusi Yang Di-Pertua dan Timbalan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat Malaysia sejak 13 Julai 2020 masih kosong. -BeritaHarian