CHEMOR: Seorang gadis sanggup menolak tawaran menyambung pengajian ke peringkat ijazah bagi mengejar cita-cita meneruskan legasi perniagaan roti canai yang diusahakan oleh keluarganya.

Lebih menarik apabila dia sendiri yang menguli doh dan menebar roti canai di warung milik ibu saudaranya di sini pada sebelah pagi.

Pada sebelah petang, dia akan membantu bapanya pula yang turut mengusahakan gerai roti canai di kawasan berhampiran.

“Saya mula membuat roti canai sejak umur 15 tahun. Minat itu datang sendiri setelah melihat ayah saya menebar roti canai setiap hari. Bila cuba sendiri, terasa seronok pula. 

“Banyak kali juga berlatih sebab ada yang tak jadi, koyak atau tak cantik. Lama-kelamaan setelah belajar daripada ayah, saya mahir menebar roti canai sampai sekarang,” katanya.

Merupakan anak kedua dari lapan adik beradik, Nur Azierah berkata, dia sama sekali tidak menyesal dengan keputusan untuk tidak menyambung pengajian sebelum ini.


“Walaupun ramai kawan saya yang sambung belajar di universiti dan kolej, tetapi saya lebih berminat untuk berniaga pada masa ini, dan meneruskan perniagaan keluarga. Insya-Allah jika ada kesempatan saya akan sambung belajar kelak.

“Saya berharap kedai ini akan bertambah maju. Saya juga mahu lihat lebih ramai kaum wanita menebar roti canai tanpa rasa malu,” katanya.

Beliau memberitahu, pada awalnya, dia berasa malu kerana ganjil bagi seorang gadis menebar roti canai, namun perasaan itu hilang dengan perlahan-lahan apabila mendapat maklumbalas positif daripada pelanggan.

Meskipun usianya yang masih muda, dia amat menitikberatkan kepuasan pelanggan yang datang ke warung untuk menikmati roti canai hasil air tangannya.

Ujarnya, tidak ada apa yang hendak dimalukan jika seorang gadis menebar roti canai, malah dia menganggap itu sebagai salah satu cabang rezeki.

“Sesetengah orang cakap roti canai di sini lembut dan berbeza dengan kedai lain. Kepakaran kami ialah membuat roti canai dengan kuah kari kaki ayam.

“Pelanggan selalunya suka makan roti canai dengan kuah kari kaki ayam, ada juga yang minta supaya roti canai itu nipis dan garing, terpulang kepada selera masing-masing,” katanya.

Bapanya, Abd Aziz Idris, 51, sentiasa memberi sokongan dan bimbingan kepada anak perempuannya untuk mengembangkan perniagaan tersebut.


“Saya selalu pesan kepada anak-anak supaya tidak melupakan pelajaran, lepas tamat Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), dia ada dapat tawaran belajar di Sabah tetapi dia tolak.

“Dia boleh sambung belajar bila-bila masa, tetapi buat masa ini katanya mahu tumpu dengan perniagaan ini, saya tidak menghalang minatnya,” kata beliau.

Sementara itu, seorang pelanggan, Azuar Nor mengakui jarang menemui penebar roti canai wanita, lebih-lebih lagi yang masih muda.

“Antara sebab saya kerap ke sini ialah roti canai yang kurang berminyak dan garing, lembut bila dimakan. Bagus ada anak muda yang minat berniaga macam dia, mulakan perniagaan sendiri di usia muda tanpa makan gaji,” katanya.

Ternyata sokongan komuniti setempat juga memainkan peranan penting dalam memajukan sesebuah perniagaan khususnya di luar bandar.

Suara Perak berharap impian Azierah untuk memiliki restoran pada suatu hari nanti akan tercapai.