TAIPING: Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming memilih untuk tidak menjawab spekulasi mengenai calon DAP DUN Tebing Tinggi, Prof Dr Aziz Bahri yang dikatakan merupakan individu paling layak untuk dijadikan Menteri Besar sekiranya Pakatan Harapan berjaya membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya ke-14 nanti.

Kor Ming berkata DAP tidak akan membuat keputusan siapa yang perlu diangkat ke jawatan itu sebaliknya perlu menyerahkan kesemua keputusan untuk memilih calon MB Perak kepada Majlis Presiden Pakatan Harapan.

Beliau bagaimana pun mengakui Aziz Bahri yang merupakan satu-satunya calon Melayu dari DAP yang bertanding di Perak memiliki kewibawaan tinggi untuk jawatan itu.

Katanya, isu Aziz Bari sebagai calon Menteri Besar merupakan mainan politik pihak Barisan Nasional untuk mengaburi mata rakyat.

“Tentang calon MB Perak, saya rasa Majlis Presiden Pakatan Harapan akan membuat keputusan yang bijak, jangan risau.

“Saya rasa sebenarnya dia (kehadirannya) bukan krisis, tapi sebenarya adalah satu nikmat kerana (Aziz Bahri) sudi datang berjuang bersama kita.

“Cuma, ini adalah isu-isu yang dimain-mainkan dan rakyat boleh nilai sendiri bila BN sudah tidak dapat jawab berkenaan isu GST, isu skandal 1MDB dan lain-lain..ini merupakan bukti bahawa mereka sudah ketandusan idea,”katanya ketika ditemui Astro Awani di Pusat Gerakan DUN Aulong, di sini hari ini.

Sebelum ini, Astro Awani pada 29 April melaporkan bahawa calon DUN Tebing Tinggi, Prof Dr Abdul Aziz Bari mengambil pendekatan terbuka dengan tidak mengiakan atau menafikan cakap-cakpa tentang potensi besar dirinya sebagai calon Menteri Besar sekiranya pembangkang berjaya membentuk sebuah kerajaan negeri pada PRU14.

Malah, kenyataan beliau itu turut mendapat maklum balas daripada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, yang mengatakan bahawa beliau mengalu-alukan mana-mana calon daripada parti pembangkang yang menyimpan hasrat untuk menjadi MB Perak.

Kata Dr Zambry dalam laporan Astro Awani pada 1 Mei lepas, seseorang itu boleh berharap tetapi keputusan muktamad berkaitan calon serta perlantikan Menteri Besar terletak di bawah kuasa Sultan Perak.

BERITA BERKENAANHusni Nafi Terlibat Dakwaan Berkempen Dalam Sekolah