Oleh: Aida Aziz

IPOH: Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Saarani Mohamad meminta kerajaan Pakatan Harapan (PH) Perak bertanya kepada Dr. Abdul Aziz Bari (DAP – Tebing Tinggi) sama ada benar dia yang menjadi dalang untuk menjatuhkan Menteri Besar.

Saarani berkata, sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, beliau dimaklumkan oleh wakil rakyat dari UMNO bahawa wakil kerajaan PH negeri berjumpa dengan mereka di hotel di Ipoh dan Cheras, selain sebuah restoran di Ipoh.

“Apa intipati perjumpaan dia? Katanya Menteri Besar yang ada tak perform… tak layak, dia yang layak, katanya dia sokongan ADUN-ADUN lain daripada 18 ADUN Pakatan Harapan.

“Empat daripada PAN sokong dia, empat PKR sokong dia, jumlah 26 dia tak cukup empat, jadi, dia perlukan empat sokongan daripada Barisan Nasional.

“Depan cakap yes sir, saya sokong tuan, tapi di belakang dia jumpa ADUN UMNO mengutuk Menteri Besar tiada sijil dan ijazah, malah dalam majlis-majlis Raja kutuk Menteri Besar tak berwibawa.

“Walaupun Aulong (Nga Kor Ming) kata kami (PH) kekal dengan 31 kerusi, kuat… tidak… saya tahu saya apa sedang berlaku, soalan kepada Sungai Manik tadi nak ingatkan kepada Menteri Besar, boleh tanya Tebing Tinggi betul atau tak betul dia orangnya yang pergi berjumpa lima ADUN itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab desakan Datuk Zainol Fadzi Paharuddin (Bersatu – Sungai Manik) yang mahukannya mendedahkan individu yang disebut-sebut selama ini, sebagai dalang yang merancang kepada konspirasi itu.

Ketika ditemui di luar DUN, Saarani mempertahankan dakwaannya kerana mendakwa mempunyai akuan bersumpah daripada lima ADUN dari UMNO yang berkenaan.

Sementara itu, Ahmad Faizal ketika ditanya mengenai perkara itu berkata, ia patut ditanya dan dirujuk sendiri kepada ADUN Tebing Tinggi itu.

“Awak patut tanya dia (Aziz Bari) sendiri samada tuduhan itu betul atau tidak,” katanya ketika ditemui di luar DUN.