PARIT BUNTAR – Tindakan calon DAP Dewan Undangan Negeri (DUN) Tebing Tinggi, Dr. Abdul Aziz Bari melontar tohmahan jahat terhadap Kerajaan Negeri Perak disifatkan sebagai merosakkan imej golongan akademik.
Calon BN DUN Kamunting, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata, perbuatan Abdul Aziz yang cuba berlagak hero dan menuduh kerajaan negeri tidak membantu rakyat adalah taktik kotor pihak pembangkang bagi mencetuskan kebencian orang ramai kepada BN.
Katanya, tindakan kurang bijak dan taktik murahan Abdul Aziz merupakan taktik lapuk bagi meraih simpati rakyat, sedangkan tohmahan yang dilontarkan adalah sama sekali tidak benar.
“Dia datang tempat orang secara merempat dan bertanding di negeri orang, dia cuba nak buat pandai.
“Baru sehari dua di sini dan tidak tahu apa-apa, dia cuba tunjuk pandai. Tolong jangan biadab dan kurang ajar dengan menuduh secara ‘hentam kromo’ terhadap pentadbiran kerajaan negeri,” katanya di sini hari ini.
Mohammad Zahir berkata, tindakan membuta tuli Abdul Aziz itu sebenarnya merosakkan imej golongan akademik dan memalukan dirinya sendiri.
Jelasnya, calon DAP itu seharusnya melakukan kaji selidik terlebih dahulu sebelum menyatakan sesuatu daripada mulutnya terutama dalam membuat kenyataan terhadap masyarakat umum.
Menurutnya, sudahlah fakta yang dikemukakan salah dan tidak benar, apa yang diucapkan lebih kepada memburukkan kerajaan.
Tegasnya, pelbagai aktiviti rakyat dan program pemukiman dijalankan kerajaan negeri termasuk membangunkan daerah kecil menerusi dasar Amanjaya yang dilihat memberi impak besar kepada masyarakat setempat.
“Inilah sikap calon pembangkang. Apa sahaja yang dicakapkan adalah mahu merosakkan imej kerajaan dan memecah belah rakyat,” katanya.