IPOH: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tebing Tinggi, Dr. Abdul Aziz Bari hari ini menafikan beliau merupakan individu yang didakwa sebagai exco yang merancang untuk menjatuhkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Beliau berkata, dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Saarani Mohamad yang mengaitkan nama beliau dengan gerakan jahat tersebut hanya gimik politik dan gosip murahan.

“Saya takkan menari mengikut gendang Saarani, ini seperti cerita kartun…soal untuk menjatuhkan Menteri Besar bukan boleh dibincangkan di kantin atau parkir kenderaan secara begitu sahaja, ini perkara tak logik.

“Secara matematiknya bagaimana? Kalau nak jatuhkan Menteri Besar perlu sekurang-kurangnya 30 kerusi, DAP hanya ada 18 sahaja, campur lima (ADUN UMNO) baru 23 kerusi? Saya seorang sahaja yang buat mana boleh.

“Tanya juga Speaker DUN (Datuk Ngeh Koo Ham) wujudkah usul untuk menjatuhkan Menteri Besar? Senang kita tungu sehingga sidang DUN habis dan lihat siapa yang menipu jika Menteri Besar masih kekal maka dia (Saarani) tipulah” katanya pada satu sidang media di sini.

Abdul Aziz yang juga Pengerusi Jawtankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar berkata, beliau telah berjumpa dengan Ahmad Faizal sendiri secara peribadi untuk menyatakan sokonganya terhadap Menteri Besar berkenaan empat bulan lalu.

“Saya dah sebut pada dia (Ahmad Faizal) di rumahnya, saya di sini bukan nak jatuhkan kamu sebab kalau kamu jatuh, kita semua jatuh.

“Ini politik matang, saya bukan budak-budak..saya tak tahu perjumpaan apa yang dia (Saarani) maksudkan, saya tak nak layan perkara-perkara itu,saya telah berjumpa dengan ramai sebagai Exco,” katanya yang juga Naib Pengerusi DAP Perak.

Terdahulu, Saarani ketika mengambil bahagian dalam sesi penggulungan belanjawan Perak 2019, meminta kerajaan Pakatan Harapan (PH) Perak bertanya kepada Abdul Aziz sama ada benar dia yang menjadi dalang untuk menjatuhkan Menteri Besar.

Beliau mendakwa lima ADUN dari UMNO telah didekati seorang exco kerajaan negeri di dalam beberapa siri pertemuan bagi membincangkan komplot menjatuhkan Menteri Besar secara usul undi tidak percaya.

Sementara itu Ahmad Faizal pula dalam kenyataan balasnya menyatakan beliau akan menyerahkan dakwaan berkenaan kepada Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) untuk membincangkan secara terperinci dan mengambil tindakan.