IPOH – Tuduhan calon DAP kerusi Dun Tebing Tinggi, Dr Abdul Aziz Bari bahawa BN ‘mencuri’ kerajaan Pakatan Rakyat pada 2009 disifatkan keterlaluan.

Yang Dipertua Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Perak, Datuk Saharuddin Abdul Jabbar berkata, perkara itu langsung tidak berasas kerana ketika kerajaan Pakatan Rakyat tumbang, beliau masih berkhidmat sebagai pegawai kepada Menteri Besar Perak ketika itu, Tan Sri Tajol Rosli Ghazali.

Katanya, apa yang berlaku sebenarnya wakil rakyat mereka menjadi bebas dan bukan menyertai BN.

“Wakil rakyat mereka sebenarnya yang tidak berpuas hati pimpinan Pakatan Rakyat Perak ketika itu. Bukan ada sebarang kecurian atau rampasan kuasa.

“Pergilah tanya empat wakil rakyat yang lompat itu dan jangan buat andaian yang mengelirukan rakyat. Orang Perak lebih tahu apa sebenarnya berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai membidas kenyataan Abdul Aziz yang menyifatkan kerajaan BN pimpinan Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mencuri kerajaan Pakatan Rakyat sebelum ini.

Saharuddin berkata, wakil rakyat mereka ketika itu sebenarnya berang dengan tindak-tanduk ketua mereka sehingga menyebabkan mereka hilang sabar.

“Kecelaruan hubungan antara mereka ketika itu sampai ke puncaknya menyebabkan mereka keluar parti. Yang menjadi bebas itu juga Exco Kerajaan Negeri jadi kenapa tuduh BN yang curi.

“Sudah-sudahlah tu cerita benda yang tak betul. Kempenlah secara sihat dengan buktikan diri sendiri layak, bukan sibuk burukkan orang lain,” katanya.

Katanya, DAP memang terdesak untuk menang di Dun Tebing Tinggi kerana memerlukan wakil Melayu dalam kalangan mereka bagi perancangan akan datang.

BERITA BERKENAANJenis Senjata, Kelongsong Peluru Kes Pembunuhan Dr Fadi Dikenal Pasti