KOTA KINABALU – Dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau menerima sokongan ‘kukuh dan meyakinkan’ daripada ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan adalah tindakan orang yang terdesak, kata Ketua Penerangan Perikatan Nasional, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Saya percaya itu hanya pandangan peribadi beliau. Anda pun nampak ahli Parlimen UMNO secara terbuka menafikan dakwaan tersebut. Ini bukan kali pertama Anwar buat begini sejak 2008.

“Ini tindakan orang yang terdesak, orang yang kemaruk kuasa,” katanya pada ceramah politik di Kampung Ketiau di sini hari ini.

Mohamed Azmin yang juga Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, sekarang adalah masa untuk melupakan perkara yang lepas.

“Pandemik Covid-19 menyebabkan kesengsaraan kepada rakyat, kita perlu pastikan keselamatan mereka. Tugas kita sekarang adalah membangunkan semula ekonomi dan itu fokus Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya.

Katanya, sejak hari pertama Muhyiddin menjawat jawatan Perdana Menteri, beliau bekerja keras untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terpelihara.

“Saya rasa momentum (sokongan rakyat terhadap Perikatan Nasional-Barisan Nasional) juga semakin meningkat dan rakyat gembira, PM (perdana Menteri) tidak banyak bercakap pasal politik dan beliau menumpukan kepada pembangunan ekonomi dan keselamatan rakyat,” katanya.

Mohamed Azmin juga yakin dakwaan Ketua Pembangkang itu tidak akan mempengaruhi sokongan pengundi Sabah terhadap calon-calon PN-BN pada pilihan raya negeri esok.

“Rakyat Sabah mengiktiraf prestasi kerajaan Perikatan Nasional setakat ini dan kemampuan kerajaan dalam menyediakan bantuan kewangan serta pakej pemulihan yang turut memanfaatkan mereka.

“Kami (kerajaan persekutuan) mahu mengadakan kerjasama yang lebih rapat dengan kerajaan Sabah. Saya percaya rakyat di Sabah sudah pun memutuskan inilah caranya untuk maju dan mereka akan terus menyokong kerajaan Perikatan Nasional,” katanya. – Bernama