KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali enggan dikaitkan dengan pemecatan bekas ketua sayap pemuda parti itu bagi cabang Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz.

Terdahulu, menteri hal ehwal ekonomi itu diminta mengulas mengenai rayuan keputusan pemecatan Haziq.

“Saya tidak tahu-menahu… Tiada kena-mengena dengan saya,” katanya kepada pemberita di lobi parlimen hari ini.

Azmin yang juga MP Gombak sambil tersenyum menjawab ringkas soalan terhadapnya sebelum bergegas meninggalkan wakil media.

Artikel Berkaitan – Saya dihukum kerana menggesa SPRM menyiasat tuduhan korupsi Azmin

 

Semalam, Haziq, 27 tahun yang juga bekas setiausaha sulit kanan timbalan menteri daripada PKR merayu keputusan pemecatannya yang berkuat kuasa serta-merta itu.

Pada 12 Jun lalu, Haziq mengakui dirinya orang di dalam siri klip video seks sejenis yang tular dan mendakwa lelaki lain yang bersamanya ialah Azmin.

Bagaimanapun, Azmin berulang kali menafikan dakwaan itu, berkata ia komplot jahat memusnahkan kerjaya politiknya.

“Ini adalah satu perbuatan kejam, fitnah yang jahat, cukup terancang yang didalangi orang tertentu,” katanya.