KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali menyindir Pakatan Harapan (PH) dengan meletakkan ciapan angka “129 – 1 = 107” dalam akaun Twitternya semalam.

Dengan status itu, ruangan komen Twitternya meriah dengan pelbagai ulasan dari netizen, termasuk penyokong PH.

Angka itu dipercayai merujuk kepada kenyataan pimpinan PH sebelum ini, yang mendakwa mempunyai nombor mencukupi untuk mengambil alih kerajaan dari Perikatan Nasional (PN).

Namun, dari hari ke hari pertukaran kerajaan itu tidak berlaku, sehingga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan PH hanya mempunyai 107 Ahli Parlimen sahaja setakat ini.

Kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan itu mendorong Azmin untuk memuatnaik status angka dengan nada menyindir, termasuk “tolak satu” itu merujuk kepada peletakan jawatan Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya pada Khamis minggu lalu untuk bersama blok PH.

Sebelum ini, pemimpin PKR, DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) dan serpihan Parti Bersatu galak menyatakan mereka mempunyai 129 Ahli Parlimen yang menyokong blok pembangkang.

Dengan angka itu, membolehkan PH menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk mengambil alih pusat pentadbiran Persekutuan dari PN yang hanya mempunyai 93 Ahli Parlimen sahaja.

Bagaimanapun, pertukaran kerajaan tidak menjadi kenyataan apabila PH mengakui mempunyai 107 Ahli Parlimen sahaja, manakala PN pula mempunyai sokongan 115 Ahli Parlimen.

Justeru, angka “129 – 1 = 107” yang diciap oleh Azmin itu merujuk jumlah 129 kerusi Parlimen yang diuar-uarkan oleh pemimpin PH, dengan seorang dari kerajaan PN iaitu Dr. Shahruddin meletakkan jawatan, menjadikan PH mempunyai jumlah 107.

Sekali lihat agak mengelirukan, bagaimana sifir 129 – 1 jawapan 107? Sebenarnya 107 itu adalah angka sebenar yang dimiliki PH, bukan 129 yang dihebohkan sebelum ini.

Sindiran Azmin itu mengundang rasa tidak senang para penyokong PH yang menasihatinya agar tidak terlalu takbur dengan kedudukan sekarang. -MalaysiaGazette