KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali terbukti kini terbukti lebih berpengaruh daripada bosnya sendiri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perkara itu menurut penganalisis politik,  Prof. Dr. Ahmad Atory Hussain dikuatkan lagi dengan perkembangan terkini apabila 27 ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan ahli parlimen PKR berdiri di belakang Mohamed Azmin dan menegur tindakan Anwar yang juga Presiden PKR.

Anwar semalam mencadangkan agar Mohamed Azmin bercuti dan meletakkan jawatan jika video seks yang dikaitkan dengannya baru-baru ini tulen.

Malah Atory menjangka Mohamed Azmin boleh ‘merampas’ jawatan presiden dengan mudah jika ia dipertandingkan sekarang.

“Azmin sudah menang sekarang ini. Anggapan Azmin hanya disebelahi  Tun Mahathir Mohamad (Perdana Menteri) kurang tepat sebab dalaman PKR juga menyokong kuat beliau.

“Kedudukan Azmin kuat. Kalau diadakan pertandingan presiden kalau macam ini pun Anwar pun boleh tumbang,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika dihubungi hari ini.

Belliau berkata demikian mengulas lanjut tindakan terkini 22 MPP PKR menerusi sebuah kenyataan yang menyelar Anwar dalam masa yang sama menyifatkan kata-kata Anwar sebagai tidak berasas.

Perkara ini juga tambah Atory membuktikan dakwaan sekian lama mengatakan PKR terbahagi kepada dua kem iaitu yang menyebelahi Anwar dan Azmin meskipun dinafikan pemimpin parti itu sekian lama adalah benar.

Pemerhati politik itu seterusnya berpandangan bahawa Azmin tidak perlu bercuti kerana sekiranya video seks yang tular baru-baru ini kini di bawah bidang kuasa polis untuk bukan sahaja menyiasat bahkan mengambil tindakan susulan.

Untuk rekod, Perdana Menteri juga beberapa kali menegaskan beliau percaya bahawa konspirasi itu dibuat untuk menjatuhkan Timbalan Presiden PKR yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu sehingga menggunakan video seks sebagai strategi.

 

-MalaysiaGazette