Polis hari ini menahan Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Azwanddin Hamzah di Jalan Datuk Keramat, Kuala Lumpur kira-kira jam 2.40 petang tadi.

Penahanan tersebut dibuat sehari selepas beliau mengancam menyerang balai polis sekiranya pelaku rusuhan di Kuil Sri Mariamman bulan lalu tidak ditangkap.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, berkata Azwanddin disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Fadzil berkata aktivis hak Melayu itu juga akan disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana menghina menteri perpaduan, P Waythamoorthy.

Semalam, ketika berucap di himpunan anjuran Gerakan Rakyat Malaysia (Geras) di Klang, Azwanddin menggelarkan menteri berkenaan sebagai ‘pariah’.

Sehubungan itu pihak polis akan memohon reman terhadap aktivis itu di Mahkamah Klang pagi esok.

Jika disabitkan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Azwanddin boleh dipenjarakan sehingga dua tahun, atau didenda atau kedua-duanya.

Manakala kesalahan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan boleh dihukum sehingga penjara dua tahun, denda atau kedua-duanya.

Semalam, Geras menganjurkan himpunan bagi menuntut keadilan kepada anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim yang meninggal dunia baru-baru ini akibat cedera parah selepas dilapor diserang oleh para perusuh berhampiran kuil di USJ 25 bulan lalu.

Pihak berkuasa mengatakan Adib diseret keluar dari kenderaannya oleh para perusuh dan dipukul. Allahyarham mengalami tulang rusuk patah dan kegagalan organ dalaman – Malaysia kini