BAGAN DATUK: Bagan Datuk memerlukan pentadbiran Majlis Daerahnya sendiri bagi melancarkan proses perancangan dan pembangunan di daerah baru itu.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata beliau akan memohon perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bagi menubuhkan Majlis Daerah Bagan Datuk.

e159c725-8d99-4b19-ae34-d58acd2cb9b2Ujarnya, penubuhan Majlis Daerah itu penting bagi kemajuan dan pembangunan daerah berkenaan khususnya setelah kawasan itu diangkat sebagai salah satu daerah baharu di Perak.

“Saya pun tidak mahu lama jadi Ahli Parlimen, sebelum saya berundur, saya ingin majukan semua kawasan bagan, pekan kecil, premis perniagaan dan pusat komersil yang ada di Bagan Datuk.

“Saya akan mohon perkenan Sultan Perak dan pada Menteri Besar untuk kita ada Majlis Daerah sendiri bagi kendalikan premis tersebut dengan kenakan cukai yang tidak tinggi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Fiesta Gong Xi Fa Cai peringkat Parlimen Bagan Datuk di Pusat Komersil Simpang Empat di Hutan Melintang, di sini pada Ahad.

Yang turut sama Duta Besar China ke Malaysia, TYT Bai Tian,Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan, Integrasi Nasional, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon serta masyarakat setempat.

Hadirin yang terdiri dari masyarakat Cina turut diraikan di majlis itu dengan acara kebudayaan seperti tarian singa serta paluan gendang.