BAGAN DATUK: Bagan Datuk yang bakal muncul sebagai hub pendidikan diyakini mampu bersaing dengan daerah-daerah lain di negeri Perak, terutamanya dalam mendapatkan keputusan yang cemerlang.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin, di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), daerah ke-12 itu mampu mencapai sasaran prestasi dan keputusan peperiksaan terbaik walaupun baru sahaja diwartakan sebagai daerah baharu.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menyatakan keyakinan beliau susulan pengiktirafan PPD Bagan Datuk dalam Kelas A oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada Khamis.

Katanya, pihak pendidik harus menggembeling tenaga dan berusaha untuk memantapkan sistem penyampaian dan pembelajaran di semua 61 buah sekolah sekitar daerah itu.

“Bagan Datuk ini bukan sebarang daerah, ia terpencil, terpinggir dan terlepas daripada pandangan tetapi jangan silap kerana dari segi keputusan PT3 dan SPM di Perak yang kedua tertinggi adalah daerah Hilir Perak.

“Malah, sekolah-sekolah di Bagan Datuk telah menyumbangkan peratusan pencapaian cemerlang yang paling tinggi di antara tiga parlimen di bawah Hilir Perak, jadi saya cabar apa kata kita bersaing pula dengan daerah lain selepas ini? katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Geran Sepadan dan Kempen Jom Menabung bersama Tabung Pendidikan di Dewan MPTI, Sungai Sumun di sini pada petang Jumaat.

Ahmad Zahid berkata, sejak tahun 1994, pelbagai pelaburan untuk pembangunan prasarana pendidikan telah disumbangkan kepada Bagan Datuk.

Bagaimanapun, beliau berpendapat, terdapat perkara yang lebih penting dari bangunan semata-mata.

“Yang lebih penting, pembinaan sahsiah, pengisian program, aktiviti di dalam dan luar bilik darjah dan program yang berteraskan pendekatan institusi sekolah dengan masyarakat, ini adalah kaedah kita untuk menyuntik semangat di dalam setiap murid dan pelajar.

“Selain itu, kami sentiasa mengalakkan kem motivasi, kem kecemerlangan pelajar kerana ini akan membuahkan prestasi yang lebih baik, dari dalam diri pelajar itu,” ujarnya.

Jelasnya, adalah tidak mustahil untuk mencapai kesemua wawasan pendidikan tersebut sekiranya semua pihak bekerjasama dan membuktikan Bagan Datuk sebagai daerah yang mampu bersaing dengan daerah lain di Perak.