SEREMBAN – Sebuah lori membawa muatan bahan kimia terlibat dalam satu kemalangan di Taman Permai 2 di sini, tengah malam kelmarin, menyebabkan 20 liter bahan kimia jenis Ultra Clean 520 tumpah di atas jalan raya.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.10 tengah malam itu, tiga daripada 20 tong di dalam lori itu pecah.

Ketua operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Md Zin Salleh berkata, kemalangan berlaku ketika lori itu mengundur dan melanggar sebuah lori lain yang diletakkan di bahu jalan di satu kawasan curam.

Katanya, dua jentera termasuk pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) bersama lapan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian dan tiba kira-kira 10 minit kemudian.

“Sebaik tiba, kelihatan bahan kimia bertaburan di atas jalan dan hasil ujian mendapati tahap kepekatan mencecah PH14.

“Kita melakukan kerja-kerja nyah cemar menggunakan air dan kepekatan telah berkurangan kepada PH7 sebelum membenarkan kerja-kerja pembersihan kepada syarikat lori tersebut,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, pihak Hazmat mengambil masa kira-kira sejam membersihkan kawasan dan lori bagi memastikan kawasan tersebut bebas bahan kimia.

“Pemandu lori yang cedera ringan telah dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) untuk rawatan lanjut,” katanya.

-SinarHarian