IPOH: Warga negeri Perak dijemput untuk menyertai Pertandingan Melukis Bunga Raya Bunga Kebangsaan dan Pertandingan Mengarang Puisi Hari Kebangsaan Darul Ridzuan yang bermula hari ini.

Yang DiPertua Badan Amal dan Usaha Isteri Negeri Perak (BAIDURI), Datin Seri Saripah Zulkfili berkata, kedua-dua pertandingan itu dianjurkan oleh badan itu dengan kerjasama Yayasan Kampung Karyawan Malim, Koloni Karyawan Amanjaya (PORT) dan Persatuan Seni Rupa Malaysia (PeRUPA) sebagai rakan strategik.

“Tarikh pendaftaran kedua-dua pertandingan ini berjalan serentak iaitu bermula hari ini 23 Mei 2017. Pertandingan Mengarang Puisi dibuka kepada pelajar sekolah menengah dari Tingkatan 1 hingga 6 dan tarikh tutupnya pada 31 Julai ini.

IMG_6198

“Manakala Pertandingan Melukis Bunga Raya pula terbuka kepada semua warga Negeri Perak yang mempunyai kad pengenalan bernombor 08,” katanya pada sidang media di Kediaman Rasmi Menteri Besar di sini.

Hadir sama, Pengerusi Yayasan Kampung Karyawan Malim, Malim Ghozali PK dan Pengurus PORT, Zamari Muhyi.

Tambah Saripah, Pertandingan Mengarang Puisi Hari Kebangsaan Darul Ridzuan 2017 dibahagikan kepada dua kategori iaitu Tingkatan 1 hingga Tingkatan Tiga dan Tingkatan Empat hingga Tingkatan Enam.

Tiga hadiah utama bagi setiap kategori bernilai RM1,000, RM750 dan RM500 dengan 15 hadiah saguhati RM200 serta sijil, buku dan piala iringan.

Jelas Saripah, peserta Pertandingan Melukis Bunga Raya Bunga Kebangsaan pula dikehendaki membawa bahan lukisan sendiri dan karya hendaklah berasaskan lukisan cat air.

“BAIDURI bercadang untuk membukukan karya-karya terbaik itu sebagai cofee table book, khusus untuk diberikan kepada tetamu yang datang ke negeri Perak.

Hadiah bernilai RM2,000 bagi Johan, RM1,500 tempat kedua dan RM1,000 di tempat ketiga manakala 10 hadiah saguhati RM100 buat 10 pemenang yang berakhir pada 30 Julai nanti,” katanya.
Borang penyertaan bagi Pertandingan Mengarang Puisi boleh didapati di Pejabat BAIDURI, Pejabat Yayasan Kampung Karyawan Malim atau muat turun di www.kampungkaryawanmalim.com.

Bagi Pertandingan Melukis pula di laman web rasmi PORT, www.portipoh.com.my, PORT Kiosk Riverfront dan Pejabat PORT di Tigerlane.