Oleh:Nazialita Geynna Maharan

BOTA KANAN:
Kunjungan Badan Amal dan Usaha Isteri Negeri Perak (BAIDURI) sempena program Ihya Ramadan di Hospital Changkat Melintang hari ini menceriakan pesakit-pesakit yang terlantar di wad hospital berkenaan.

Lawatan itu yang diadakan bersama Persatuan Puteri Islam (PPIM) Perak Tengah turut dihadiri oleh Yang Dipertua BAIDURI, Datin Seri Saripah Zulkifli dan mendapat kerjasama Majlis Belia Daerah dan para sukarelawan dari sekitar Bota Kanan.

Beliau meluangkan masa lebih dua jam membantu kakitangan hospital menyediakan bubur lambuk malah tidak melepaskan peluang beramah mesra dan berbual-bual dengan mereka yang terlantar sakit di hospital itu.

baiduri-hospital 2

Saripah yang juga Pengerusi PPIM Perak berkata, lawatan tersebut memberikan kesempatan kepada ahli-ahli pertubuhan berkenaan mengedarkan bubur lambuk dan tamar kepada pesakit-pesakit di hospital itu.

“Lawatan ini merupakan pengalaman manis buat kami. Tentunya, bukan semua kita diberikan kesihatan yang baik. Semoga lawatan ini memberi sedikit kegembiraan buat mereka yang meniti Ramadan di rumah sakit bersama rakan-rakan yang lain,” katanya.

Menurut Saripah, dalam lawatan itu, beliau dan rombongan sempat menyampaikan sumbangan daripada Puteri UMNO kepada murid-murid di beberapa buah sekolah rendah sekitar Perak Tengah.

Beliau berkata, murid-murid tersebut telah membantu menjayakan Program Tadarus al-Quran di Masjid Bota Lama Kanan sebelum ini.

 

baiduri-hospital