Milan: Penyerang AC Milan, Zlatan Ibrahimovic bermurah hati apabila menghadiahkan rakan sepasukannya konsol terbaharu keluaran Sony iaitu PlayStation 5 (PS5).

Tiga pemain kelab itu memuat naik di Instagram mengucapkan terima kasih kepada pemain berusia 39 tahun itu kerana membelikan konsol berkenaan.

PS5 kini menjadi rebutan orang ramai yang berusaha untuk menjadi pemilik terawal.

Mateo Musacchio, Samu Castillejo and Rafael Leao nyata bertuah kerana mereka tidak perlu bersusah payah untuk mendapatkan PS5.

Musacchio menerusi akaun Instagram miliknya memuat naik gambar PS5 di rumahnya.

Pemain sayap Sepanyol, Castillejo turut berterima kasih kepada bintang Sweden itu ketika memuat naik gambar konsol di kereta mewah Lamborghini miliknya.

Penyerang Portugal, Leao juga mengucapkan terima kasih kepada Ibrahimovic dengan berkata: “Terima kasih GOAT untuk hadiah ini.”

Penyokong mula berseloroh berkata mereka tidak dapat membeli PS5 kerana Ibrahimovic sudah memborong kesemuanya.

Seorang menulis di media sosial: “Patutlah kami tidak dapat membelinya kerana pemain bola sepak mendapatkannya terlebih dahulu.”

Seorang lagi menulis: “Ketika kami bersusah payah hendak membelinya, Zlatan membelikan PS5 kepada semua pemain Milan.”