KUALA LUMPUR – Bajet 2018 akan menumpukan kepada langkah-langkah yang berteraskan rakyat, termasuk inisiatif khas untuk meningkatkan pendapatan boleh guna sebagai cara untuk mengurangkan kos sara hidup yang semakin meningkat tanpa menjejaskan langkah penjimatan fiskal kerajaan.

Dalam nota penyelidikan hari ini, AllianceDBS Research berkata, ia menjangka bajet itu juga akan menangani kos sara hidup yang tinggi dalam kalangan kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah.

Katanya, kerajaan turut dijangka membuka laluan bagi masa depan ekonomi Malaysia di bawah pelan Transformasi Nasional 2050 atau TN50 yang baharu.

“Ini dijangka memberi penekanan kepada ekonomi digital dan penggunaan teknologi untuk memajukan pertumbuhan ekonomi,” katanya.

Mengenai fiskal, AllianceDBS Research berkata, ia menjangka kerajaan akan terus berhemat dalam perbelanjaan dan mempelbagaikan sumber pendapatan, mengurangkan kebergantungan kepada hasil minyak (13.5 peratus daripada jumlah pendapatan pada 2016).

“Tumpuan pada tahun ini adalah pada kutipan cukai barang dan perkhidmatan (19.4 peratus daripada jumlah pendapatan pada 2016) dan cukai pendapatan korporat (27.4 peratus daripada jumlah pendapatan),” katanya.

Firma penyelidikan itu telah menyemak semula unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi tahun ini kepada 5.4 peratus (daripada 5.2 peratus), berdasarkan keadaan yang lebih baik di dalam dan luar negara.

Ia mengekalkan unjuran KDNK 2018 Malaysia pada lima peratus. – Bernama