IPOH: Bajet 2019 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, jelas amat menitikberatkan sektor pendidikan dengan peruntukan terbesar sebanyak RM60.2 bilion atau 19.1 peratus daripada perbelanjaan keseluruhan kerajaan tahun hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Alam Sekitar, Sains dan Teknologi Negeri Perak, Dr Abdul Aziz Bari berkata, kerajaan negeri menyambut baik pembentangan bajet itu yang disifatkan amat bersesuaian dengan tema ‘Malaysia Wibawa, Ekonomi Dinamik, Rakyat Sejahtera’.

Menurut beliau, ia satu perkembangan yang baik, terutamanya dalam isu infrastruktur dan baik pulih sekolah yang banyak dibangkitkan oleh pihak sekolah di negeri Perak yang berada di luar kemampuan kerajaan negeri.

“Kerajaan negeri akan lebih mudah memberi tumpuan pembangunan aspek keceriaan sekolah dan menampung keperluan yang tidak ditanggani kerajaan Persekutuan.

“Pendidikan adalah tongak utama yang telah diberi perhatian oleh kerajaan dalam membentuk generasi Malaysia baru yang lebih berdaya saing dan memacu kegemilangan Harimau Asia di persada dunia,” katanya sebagai mengulas pembentangan Bajet 2019 hari ini.

Namun dalam pada itu, Dr Abdul Aziz berharap Kementerian Pendidikan dapat bergerak sejajar dengan Kementerian Kewangan yang cekap, terutamanya dalam isu perlantikan bagi mengisi kekosongan di Jabatan Pendidikan Negeri serta Pejabat Pendidikan Daerah supaya gerak kerja dapat dipacu seiring dengan dasar yang diperjuangkan kerajaan.

Dalam perkembangan lain, beliau turut menyamput baik pengumuman Menteri Kewangan berhubung langkah kerajaan Persekutuan yang bijak mengambil langkah pemeliharaan alam sekitar melalui cadangan peruntukan RM60 juta kepada negeri yang mengambil usaha melindungi kawasan perlindungan sedia ada dan menambah kawasan perlindungan hutan yang baharu.

“Dalam keadaan kerajaan negeri yang terpaksa bergelut dengan hutang dan liabiliti hari ini, kerajaan negeri menyambut baik bantuan sepert ini dan akan memanfaatkan peruntukan ini bagi memelihara hutan dan marin di negeri ini selaras dengan manifesto Pakatan Harapan negeri Perak,” ujarnya.