GOPENG : Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dijangka bakal memberikan fokus kepada golongan asnaf untuk membebaskan mereka daripada belenggu kemiskinan menerusi belanjawan negeri dalam Bajet 2020.

Beliau berkata, dengan jangkaan pertambahan hasil negeri pada tahun depan, pihaknya ingin memulangkan semula kepada rakyat bagi mengupaya golongan berkenaan.

“Kami sedang merangka. Apa yang hendak kami lakukan selain daripada mengekalkan apa yang sedang kita lakukan ialah kita juga memberikan fokus kepada golongan asnaf untuk tahun depan sebab kita jangkakan, insyaAllah, berkat kerja kuat semua rakyat, hasil negeri ini boleh kita tambah.

“Oleh itu, kita ingin juga apabila hasil lebih banyak, kita bagi balik pada rakyat terutama sekali untuk mengeluarkan golongan asnaf daripada kepompong kemiskinan dengan mengupayakan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis perasmian Agrofest Perak di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng di sini hari ini.

Ahmad Faizal diminta mengulas mengenai perancangan bajet negeri untuk tahun depan serta harapan Perak terhadap kerajaan Persekutuan menjelang pembentangan Bajet 2020 pada 11 Oktober ini.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal berkata, pihaknya berharap kerajaan Persekutuan dapat menyalurkan bantuan dari segi pembesaran Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS).

Selain itu katanya, pihaknya juga memerlukan banyak pembangunan prasarana di Pulau Pangkor selari dengan perencanaan pulau bebas cukai menjelang 1 Januari 2020.

“Jadi, besar harapan seluruh rakyat negeri Perak kepada kerajaan Persekutuan untuk membantu kita dalam beberapa perkara besar ini,” katanya.

Ditanya sama ada kerajaan negeri sempat menyediakan prasarana dalam masa berbaki tiga bulan menjelang 1 Januari 2020, Ahmad Faizal berkata, adalah mencukupi untuk menggunakan kemudahan sedia ada.

“Saya fikir tidak sempat tetapi kita akan gunakan apa yang ada untuk diubah suai dengan Pangkor sebagai pulau bebas cukai,” katanya.

– UTUSAN ONLINE