Oleh: Nazialita Geynna Maharan

SIMPANG PULAI: “Saya rindu tangan ayah menggenggam erat jari saya, membawa saya ke pasaraya untuk membeli baju raya.”

49ef1285-f6d2-450d-ba20-51c073823393Kenangan membeli baju raya kali terakhir bersama ayahnya itu masih segar di minda Nurul Iman Hussin, 9, setiap kali terkenangkan allahyarham bapanya yang meninggal dunia, dua tahun lepas.

Anak ketiga daripada enam beradik itu berkata, beliau masih teringat pesan ayahnya agar sentiasa berjimat-cermat ketika membeli-belah kelengkapan raya dan bersederhana dalam kehidupan.

“Ayah masih penat pada hari itu, kerana kerjanya sebagai pemandu di sebuah syarikat tetapi ayah masih tersenyum sambil memegang tangan saya dan bawa saya memilih baju kesukaan.

“Ayah tahu warna kegemaran kami; ayah akan tunjuk baju dan kasut raya warna merah jambu kepada saya,” katanya sambil terus memeluk ibunya.

Mesra dipanggil Iman, gadis cilik yang menduduki tempat pertama dalam kelasnya mempunyai cita-cita yang amat murni dan tulus.

“Bila saya dah besar, saya nak temankan mak pula beli baju raya, saya janji, saya nak tengok mak pakai baju lawa, baju mahal,”katanya yang ingin menjadi seorang anggota bomba kelak.

Sementara itu, ibunya Wan Huzaimah Wan Mat Ali, 47, berkata, Iman merupakan seorang anak yang sangat ceria dan rapat kepada arwah bapanya.

“Saya cukup risau ketika arwah suami pergi meninggalkan kami, kerana Iman masa itu sedang membesar dan f3b1c28f-37f7-4b77-b475-b721490db9a8sangat rapat dengan ayahnya, tetapi ternyata dia dapat menerima hakikat.

“Saya sentiasa ajar anak-anak supaya redha dengan ujian Allah, cuma harapan saya mereka dapat membesar dengan baik dengan didikan saya sebagai seorang emak dan ayah,” katanya lagi.

Huzaimah ditemui pada program Membeli-Belah Baju Raya bersama Anak-anak Yatim yang dianjurkan oleh Pusat Rekreasi Lubuk Timah (PRELUT) di sebuah pasaraya di sini, baru-baru ini.

Pada majlis itu, seramai 100 orang anak yatim dari Sungai Siput, Chepor, Tapah, Kuala Kangsar dan Temoh ceria dibelikan kelengkapan raya serba baru selain menerima duit raya daripada PRELUT.

120cf8fc-b5c1-4493-85ab-3fe0f8a99975