GOMBAK – Bakul pun kau nak rembat. Itu rata-rata komen netizen yang geram dengan pelakuan seorang lelaki melarikan sebuah bakul baju di kedai dobi di Sungai Tua di sini beberapa hari lalu.

Kejadian dirakam kamera litar tertutup (CCTV) premis dan dimuat naik di akaun Facebook pusat dobi berkenaan Selasa lalu.

Video berdurasi 59 saat yang tular itu memaparkan seorang lelaki berbaju merah dan memakai topi keledar memasuki kedai dobi berkenaan.

Dia dilihat membawa sebuah beg sandang yang kemudian diletakkan di meja dan kelihatan menutup zip beg berkenaan.

Lelaki terbabit yang didakwa netizen memakai topi keledar berharga mahal kemudian menuju ke arah motosikal dan kembali semula dalam premis beberapa saat kemudian.

Selepas memerhatikan keadaan sekeliling, lelaki terbabit mengambil sebuah daripada beberapa bakul baju disediakan pengusaha dobi untuk pelanggan dan melarikan diri dengan motosikal diletakkan depan kedai.

Video tular itu dilihat hampir 100,000 warganet, menerima ratusan emoji dan komen turut dikongsi hampir 200 pelayar Facebook.

Sementara itu pelayar Facebook memberikan pelbagai reaksi dan komen terhadap perbuatan lelaki terbabit.

Majid MeeGoreng berkata, perbuatan suspek memalukan kerana bakul berkenaan boleh dibeli dengan harga yang murah.

“Nak Beli bakul pun tak mampu…pergi curi pulak apa punya. Jangan la buat malu je.Tu kedai 2 ringgit kan ada pergi beli.Apa punya orang da…,” tulisnya di bahagian komen.

Syiren Hazlin Pongteekhor pula mempertikaikan pelaku mampu beli topi keledar mahal namun bakul baju tidak mampu dibeli.

“Bakul yang murah pun tak mampu beli..beli helmet mahal boleh pula.Entah-entah helmet pun kebas orang punya,” tulisnya.

Sergio Kun Sanee pula sambil bergurau berkata, lelaki itu membawa pulang bakul baju kerana mungkin menyangka ia termasuk dalam pakej cucian.

“Barangkali dia ingat pakej kut cuci baju dapat bakul, bersangka baik,” tulisnya.

 

-SINARHARIAN