DHAKA: Bangladesh menolak untuk menerima 269 pelarian Rohingya yang ditahan pihak berkuasa Malaysia.

“Bangladesh tidak akan menerimanya. Bangladesh tidak mempunyai kewajipan atau berada dalam posisi untuk menerima pelarian Rohingya lagi,” kata Menteri Luar, AK Abdul Momen kepada agensi berita Anadolu.

Pihak berkuasa Malaysia pada Isnin lalu menahan 269 pelarian Rohingya dan turut menemui mayat di atas bot yang rosak di luar pulau peranginan Langkawi.

Abdul Momen berkata, Rohingya bukan warga Bangladesh, mereka penduduk Myanmar.

Beliau meminta negara-negara lain turut sama menerima pelarian Rohingya dan beban itu bukan hanya perlu ditanggung Bangladesh sendirian.

“Kita mengalu-alukan negara lain mengambil mereka dan memindahkan 1.1 juta Rohingya yang kini berlindung sementara di Bangladesh,” kata Abdul Momen.

Sementara itu, dua lagi pelarian Rohingya di kem sementara di Cox’s Bazar meninggal dunia semalam akibat COVID-19, sehingga kini seramai tiga orang telah maut.

“Hari ini (Selasa), dua lagi kematian dan enam kes dilaporkan. Jumlah pelarian yang dijangkiti ialah 35 orang,” kata seorang pegawai, Mahbub Alam Talukder.

Beliau berkata, lebih 20,000 Rohingya dilaporkan mempunyai kontak rapat dengan pesakit yang berlindung di khemah yang sama. – BERNAMA