KUALA LUMPUR: Bangunan penting seperti hospital, sekolah dan unit kediaman bertingkat, terutama berusia lebih 20 tahun di negara ini perlu menjalani audit keselamatan.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata audit itu perlu dilakukan pihak berkuasa membabitkan pemeriksaan menyeluruh pendawaian elektrik di bangunan dan kemudahan yang ada.

Katanya, menerusi audit keselamatan itu, barulah sebarang ‘hazard’ atau bahaya dapat dikenal pasti.

“Pihak berkuasa yang menjalankan pemeriksaan perlu mengenal pasti tahap keselamatan, termasuk bahaya kebakaran yang mungkin disebabkan oleh pendawaian lama dan bahan binaan yang mudah terbakar.

“Audit perlu bagi mengenal pasti kelemahan aspek keselamatan bangunan dan kemudahan yang ada agar tindakan segera dapat diambil untuk memperbaikinya, sekali gus mencegah berlaku kejadian buruk,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Lam Thye berkata, antara semua punca bahaya kebakaran, masalah berkaitan elektrik adalah paling utama, dengan lebih 5,300 kes direkodkan dari tahun 2014 hingga 2016.

“Statistik Jabatan Bomba dan Penyelamat turut mendedahkan 877 kes sama dilaporkan dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun lalu.

“Malah, kebakaran yang memusnahkan sebahagian stor Jabatan forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) menunjukkan insiden ini boleh berlaku di bangunan penting pada bila-bila masa,” katanya.

Beliau berkata, kebakaran di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru yang meragut nyawa enam pesakit termasuk empat wanita pada 25 Oktober 2016 juga berpunca akibat kebakaran pada kapasitor lampu.

Katanya, kebakaran terbaru di Hospital Kuala Lumpur (HKL) didakwa disebabkan oleh litar pintas dan merebak dengan cepat kerana stor itu turut digunakan untuk menyimpan banyak peralatan perubatan daripada plastik.

“Dalam insiden kebakaran di HKL semalam, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khirudin Drahman menyatakan terdapat dua pekerja terperangkap di stor itu.

“Namun mereka dapat diselamatkan selepas anggota bomba tiba di tempat kejadian jam 12.30 tengah hari.

“Tahniah anggota bomba dan pihak hospital kerana tindakan pantas mereka berjaya menyelamatkan mangsa terperangkap serta dapat mengeluarkan kira-kira 150 tangki oksigen yang disimpan di stor sebelum kebakaran merebak,” katanya – berita harian