IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) memaklumkan bahawa bangunan letak kereta bertingkat di Jalan Dato’ Maharajalela di sini, ditutup mulai 17 Oktober (Rabu) sehingga diberitahu kelak.

Penutupan itu dibuat setelah pihak MBI mendapati terdapat keretakan pada dinding bangunan tersebut.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak meletakkan kenderaan masing-masing di dalam dan kawasan sekitar bangunan tersebut sehingga diberitahu kelak, bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

“Kerja-kerja baik pulih sementara akan dilaksanakan bagi membolehkan kajian lanjut berkaitan kekuatan struktur bangunan tersebut akan dilaksanakan,” kata pihak MBI dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Pihak MBI juga akan membuat bayaran balik sewaan letak kereta bertingkat bagi Oktober dan Disember 2018 dan penyewa yang berkenaan hadir diri ke Unit Letak Kereta, Tingkat 1, Jalan Bandar.

Penyewa dikehendaki membawa bersama dokumen seperti salinan kad pengenalan, resit sewaan letak kereta bertingkat Oktober – Disember 2018 dan salinan muka hadapan akaun simpanan/ penyata akaun bank.