IPOH,18 DIS: Kerajaan Perak sedang membangunkan inisiatif data raya yang dinamakan NEXUS Perak, ujar Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad.

Katanya,projek itu akan memacu agenda pembangunan negeri secara holistik melalui penggunaan ‘data-driven decision-making’ atau pemacu data pembuatan keputusan.

“Fungsi utama NEXUS Perak adalah untuk menjalankan perlombongan data dan analitik data; ia dimulakan dengan penyediaan ‘Tier-1 Score Card’

“Bagi peringkat awal, sebanyak empat indikator akan dibangunkan merangkumi data pendapatan, data pelaburan, data peluang pekerjaan dan data kemiskinan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Belanjawan Negeri Perak 2021 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, pada Jumaat.

Tambahnya projek NEXUS Perak akan diterajui Institut Darul Ridzuan (IDR) dengan kerjasama Universiti Teknologi Petronas (UTP) bagi mewujudkan pusat jaringan strategik antara data custodian atau data penyimpan yang membolehkan integrasi data yang relevan dapat dihasilkan antara jabatan serta agensi.

Dalam perkembangan berasingan, Saarani berkata Perak meletakkan sasaran 1,000 peserta terhadap program Pendidikan Latihan dan Kemahiran Vokasional (TVET) yang merangkumi latihan secara modular pada tahun hadapan.

Jelasnya, sasaran itu melibatkan peserta dalam kalangan penggangur, ibu tunggal, belia dan Orang Kelainan Upaya (OKU) melalui latihan pekerjaan secara praktikal.

Katanya pendidikan TVET dilihat sebagai pemangkin pembangunan negeri melalui pembangunan kemahiran bagi pekerja berkemahiran tinggi berdasarkan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan.

Saarani berkata sebanyak RM3 juta telah diperuntukkan dalam Belanjawan Negeri Perak 2021 bagi pelaksanaan program tersebut.