TELUK INTAN: Seramai 49 orang daripada 12 keluarga dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI), Langkap susulan banjir kilat akibat limpahan air Sungai Batang Padang, awal pagi Jumaat.

Menurut Pegawai Daerah Hilir Perak, Meor Hezbullah Meor Abdul Malik, antara kawasan yang terjejas banjir ialah Kampung Chikus, Kampung Pecah Batu dan Kampung Belt.

“Pembukaan PPS banjir di Dewan MPTI Langkap berkuatkuasa hari ini, Jumaat bermula jam 2 pagi. Mohon perhatian dan tindakan penyelarasan segera penyediaan dan pelaksanaan bantuan kecemasan atau bencana dari agensi peringkat daerah Hilir Perak.

“Sehingga kini bilangan mangsa yang terlibat seramai 49 orang daripada 12 keluarga, pecahan dari itu melibatkan 15 lelaki dewasa, 18 perempuan dewasa, 12 kanak-kanak lelaki dan 4 kanak-kanak perempuan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Ujarnya, seramai 44 petugas yang terlibat dari pelbagai agensi seperti polis, RELA, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak serta Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Terdahulu, Meor Hezbullah yang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Hilir Perak berkata, kawasan penempatan penduduk di beberapa kampung dinaiki air akibat limpahan air Sungai Batang Padang yang parasnya semakin naik ketika ini.

Antara kampung yang turut terjejas ialah Kampung Kunci Air 12 Headwork, Kampung Sg. Kucing dan Sungai Manik.