ASSAM – INDIA. Sekurang-kurangnya 28 terbunuh dan beratus-ratus ribu lagi kehilangan tempat tinggal dalam banjir yang melanda negeri tersebut sejak pertengahan Jun lalu lapor Metro.co.uk.

Laporan menunjukkan 800 buah kampung terjejas dalam banjir tersebut melibatkan hampir separuh daripada 27 daerah di Assam.

Difahamkan, hampir 20,000 orang terpaksa menumpang teduh di sebuah kem pelarian yang dikendalikan oleh kerajaan negeri serta 500,000 orang lagi melarikan diri dari rumah mereka.

Sementara itu, pihak berkuasa turut memindahkan 400 pelajar selepas sekolah itu dibanjiri di daerah Nalbari, keadaan cuaca buruk juga membataskan penggunaan helikopter.

Menteri Perhutanan dan Alam Sekitar Assam, Pramila Rani Brahma menyifatkan keadaan banjir sebagai sesuatu yang menyedihkan.

Menurutnya, jangkaan hujan lebat monsun selama tiga minggu itu turut mengancam merosakkan Taman Negara Kaziranga.

“Taman negara ini merupakan rumah bagi populasi terbesar badak bertanduk satu dan juga haiwan spesis lain yang jarang ditemui.

“Pegawai hutan telah menemui satu bangkai badak yang mati disebabkan banjir ini manakala enam ekor rusa telah dilanggar di jalan raya sepanjang minggu lalu,” katanya.

-SinarHarian