IPOH – Banjir di Perak beransur pulih apabila hanya satu pusat pemindahan sementara (PPS) masih dibuka dengan menempatkan seramai 19 mangsa di Daerah Kerian hari ini.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak berkata, kesemua mangsa daripada tujuh keluarga itu masih ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Alor Pongsu.

“Jumlah itu melibatkan 8 lelaki dan 11 perempuan termasuk kanak-kanak dan bayi dari Kampung Parit Abu Hassan,” katanya.

Menurutnya, dua PPS di Daerah Kerian dan Kampar yang menempatkan 111 mangsa sebelum ini telah ditutup.

“PPS SK Parit Haji Aman di Kerian telah pun ditutup semalam manakala, PPS di Dewan Dato Azman Mahalan, Kuala Dipang, Kampar ditutup jam 10 pagi hari ini,” katanya.

Semalam, Sinar Harian melaporkan seramai 130 mangsa banjir di Perak telah ditempatkan di tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di daerah Kerian dan Kampar. – Sinar Harian