Oleh: Nazialita Geynna Maharan

GERIK: “Air deras dan naik sangat cepat, masa hujan pun kayu besar hanyut sekali hingga jambatan gantung runtuh, memang keadaannya macam dilanda tsunami!”

Itulah perasaan penduduk Kampung Malau, Muhammad Azirun Abdul Latif, 25, ketika menceritakan insiden banjir yang menyebabkan 50 buah rumah di kampung tersebut dinaiki air.

Menurutnya, air naik begitu mendadak, mujur rumah keluarganya berada di kawasan agak tinggi, justeru mereka terselamat daripada bencana itu kerana air tidak memasuki rumah.

Bagaimanapun, dia mengakui, banjir yang melanda kawasan sekelilingnya memang agak teruk.

“Sungai Malau sebenarnya berada di bahagian belakang rumah saja.
“Pagi Ahad lalu, memang air naik tapi pada mulanya saya ingatkan biasa-biasa saja, tidaklah risau sangat pada mulanya.

“Tak lama lepas tu, entah dari mana datang satu batang balak besar menghentam tebing sungai, runtuh terus tebing sungai. Itulah punca air melimpah dengan sangat cepat.

“Kawasan tebing itu memang ada benteng tapi balak hentam kawasan yang tiada benteng. Bila tebing runtuh, air cepat melimpah, kelam-kabut kami selamatkan barang-barang,” katanya ketika ditemui.

IMG-20171107-WA0029

Tambah Muhammad Azirun, banjir kali ini agak luar biasa malah dia terkejut melihat air seakan-akan ‘menggelegak’ dan melonjak ke atas, dan seolah-olah ada gegaran dapat dirasai ketika di berada dalam rumah.

“Tak tahu nak cakap tapi memang ada rasa macam air menggelegak, mungkin berombak. Dari atas rumah, memang boleh rasa air macam menolak ke atas, macam ada angin pula.

“Masa itu memang saya risau, memang rasa banjir kali ini lain macam. Dari atas rumah, tengok ke luar macam ada kolam. Semua tempat di sekeliling rumah dipenuhi air,” ujarnya.

Seorang lagi penduduk, Muhammad Syazarul Naim Shaharani, 23, hanya mampu melihat rumah ibu bapanya ditenggelami air ketika sampai di rumah kira-kira jam 2.00 petang.

Menurutnya, tiada orang berada di rumah sewaktu kejadian kerana ibu bapanya ke rumah abangnya di Manjung untuk melawat cucu mereka yang tidak begitu sihat.

“Saya berada di Ipoh, bila sepupu beritahu kampung banjir, saya terus bergerak ke Manjung ambil ibu bapa saya kemudian bergerak pula ke Kampung Malau.

“Sampai saja, tak boleh nak cakap apa, terkedu rasanya. Tengok rumah tenggelam, air sampai paras pinggang. Barang di rumah memang satu pun tak dapat selamat.

“Kali terakhir banjir di sini pada 2012. Masa itu teruk juga namun kami sempat selamatkan banyak barang. Kali ini, memang tak sempat sebab tiada orang di rumah semasa banjir berlaku,” katanya.

Ujarnya lagi, ayahnya kelihatan sugul sejak semalam malah dia pada awalnya juga berat hati untuk meninggalkan rumah sebelum bertolak ke Manjung.

“Ayah risau sebab sekarang musim banjir, berat hati nak tinggalkan rumah tanpa ada orang jaga. Tapi itulah, bila perkara dah jadi, kita pun tak boleh buat apa, kami reda dengan apa berlaku,” katanya.

Dalam pada itu, sebuah jambatan gantung untuk kegunaan motosikal di Kampung Malau rosak teruk akibat banjir pagi kelmarin.

Penduduk, Anuar Rashid, 60, berkata, itu merupakan jambatan ketiga dibina namun sayangnya ia sekali lagi runtuh disebabkan air Sungai Kenering melimpah.

“Sebelum ini ada dua jambatan di sini, runtuh juga disebabkan banjir. Ini yang ketiga, rosak juga disebabkan banjir. Mungkin lepas ini perlu bina jambatan lebih kukuh untuk penduduk.

“Jambatan ini memang selalu digunakan, hari-hari ada orang lalu. Orang nak ke kebun pun lalu jambatan ini. Bila rosak, susah jugalah, kena ikut jalan jauh,” katanya.