IPOH: Hujan lebat yang berlaku petang Sabtu menyebabkan beberapa kawasan di Perak dilanda banjir kilat.

Antara kawasan yang terlibat ialah di Kampung Batu 6, Jalan Changkat Jong, Teluk Intan dan Jalan Kuala Kangsar di Ipoh.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian banjir kilat di Jalan Kuala Kangsar dan Sekolah Kebangsaan Seri Mutiara, Ipoh, kira-kira jam 4.04 petang.

“Banjir kilat melibatkan beberapa buah rumah dinaiki air antara satu hingga tiga kaki dan operasi pemindahan mangsa sedang dilakukan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Menurut jurucakap itu, pihaknya juga menerima panggilan mengenai kejadian banjir kilat di Kampung Batu 6, Jalan Changkat Jong, Teluk Intan pada 7.17 malam.

“Setibanya di lokasi kejadian, didapati berlaku banjir kilat dengan paras air dianggarkan antara satu hingga dua kaki,” ujarnya.

Katanya, terdapat lapan buah rumah yang terlibat dan operasi pemindahan mangsa sedang dijalankan.