KUALA KANGSAR: Hujan yang berterusan hingga pagi ini menyebabkan dua lagi kampung di daerah ini dilanda banjir kilat.

Dua buah kampung itu ialah Kampung Talang Hulu dan Kampung Talang Hilir dinaiki air kira-kira satu meter selepas Kampung Lembah Padang Rengas dilanda banjir malam tadi.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, mangsa banjir meningkat kepada 104 arang, berbanding 55 orang malam tadi.

Katanya, seramai 39 mangsa daripada tujuh keluarga ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) asrama Risda Padang Rengas.

“Seramai 39 orang lagi juga daripada tujuh keluarga dipindahkan ke PPS Dewan Orang Ramai Kampung Stor manakala 26 orang melibatkan enam keluarga ditempatkan di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Talang Masjid,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, setakat ini keadaan semasa di lokasi kejadian telah menunjukkan paras air mulai surut dan hujan telah berhenti.

“Bagaimanapun operasi pemantauan masih dijalankan,” ujarnya.