TAPAH – Pusat pemindahan banjir di Dewan Kampung Samy, Chenderiang di sini, ditutup sepenuhnya kira-kira jam 10 pagi semalam.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri, Mohd Noor Hassan Ashari berkata, pihaknya mendapati air surut sepenuhnya selepas 13 jam dibuka untuk menempatkan 48 mangsa sejak malam kelmarin.

“Pusat berkenaan dibuka bagi menempatkan 14 lelaki, 12 wanita dan 22 kanak-kanak termasuk seorang bayi.

“Tinjauan mendapati air surut dan kesemua mangsa terlibat pulang ke rumah masing-masing untuk melakukan kerja-kerja pembersihan,” katanya.

Menurutnya, pemindahan itu turut melibatkan kerjasama tujuh anggota APM, PDRM (4), bomba (3), Jabatan Kebajikan Masyarakat (5) dan seorang pegawai dari Kementerian Kesihatan Malaysia.

image (3)

Dalam pada itu, seorang pekerja am tidak menyangka panggilan dari isteri mengatakan rumah dilanda banjir kilat menyebabkan mereka mengalami kerugian dalam jumlah agak besar.

T Raman, 39, berkata, dia mendapat panggilan daripada isterinya pada jam 2.30 petang kelmarin sebelum bergegas pulang ke rumah di Kampung Samy, di sini.

Katanya, apabila tiba di rumah, paras air naik mendadak melebihi paras paha menyebabkan dia mengambil tindakan menyelamatkan isteri dan enam anaknya ke tempat lebih selamat.

“Saya tak fikir lain cuma mahu selamatkan isteri dan anak-anak sahaja ke tempat lebih selamat kerana mereka lebih berharga.

“Barang termasuk motosikal rosak dan ada daripada barangan itu dihanyutkan dalam banjir kilat yang terjadi petang semalam (kelmarin),” katanya.

Raman berkata, dokumen penting dan barangan rumah termasuk baju turut hilang dan kini tinggal sehelai sepinggang akibat kejadian banjir itu.

Dalam nada sama, pekerja swasta, M Mahaendran, 41, berkata, kejadian banjir kilat kerap berlaku di kawasan Kampung Samy namun kejadian petang kelmarin paling buruk pernah berlaku.

Katanya, paras air di Sungai Cheroh naik mendadak dalam tempoh singkat selepas hujan lebat petang kelmarin.

“Kawasan ini selalu dilanda banjir kilat tetapi tak seburuk seperti petang semalam (kelmarin).

“Jika dulu paras air hanya paras betis, semalam (kelmarin) ada rumah jiran ditenggelami air sehingga paras dada,” katanya.

Mahaendran berkata, kejadian itu juga menyebabkan dia dan jiran-jirannya mengalami kerugian besar dalam banjir kilat.

-SinarHarian