IPOH: Seramai 62 mangsa banjir di daerah Kuala Kangsar yang ditempatkan di tiga buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS), dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing susulan banjir di kawasan terbabit sejak Sabtu lepas, surut sepenuhnya petang semalam.

Pegawai Daerah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kuala Kangsar Ahmad Munir Ishak berkata, tinjauan yang dilakukan Pasukan Operasi Pengurusan Bencana Daerah di lokasi terjejas mendapati, air telah surut dan kediaman mangsa selamat untuk diduduki semula.

“Oleh itu, PPS di Dewan Orang Ramai Kampung Setor, Asrama Kolej Risda dan Dewan Orang Ramai Kampung Talang Masjid, ditutup mulai pukul 5 petang ini,” katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.

Beliau turut merakamkan penghargaan dan terima kasih, kepada semua pihak yang membantu menyelaras dan mengurus selia PPS tersebut dengan baik sepanjang ia beroperasi.

Sementara itu, menurut aplikasi info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), PPS di Sekolah Kebangsaan Parit Haji Aman yang menempatkan mangsa banjir di daerah Kerian pula, masih dibuka sejak berlaku banjir kilat pada malam Sabtu lepas.

Setakat pukul 5.30 petang ini, seramai 75 orang mangsa daripada 34 keluarga termasuk seorang bayi lelaki, masih ditempatkan di PPS berkenaan.

egawai Daerah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kerian Mohd Sabli Bakri berkata, sebuah lagi PPS dibuka di daerah Kerian iaitu di Sekolah Kebangsaan Alor Pongsu bermula pukul 7 petang semalam.

Beliau berkata PPS itu dibuka berikutan banjir yang melanda kawasan Kampung Ban Abu Hassan, akibat limpahan air Sungai Kurau lewat petang semalam.

Setakat pukul 9 malam tadi, seramai 15 orang mangsa daripada empat keluarga ditempatkan di PPS itu dan pemantauan berterusan dijalankan pelbagai agensi termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan JKM.– BERNAMA