TELUK INTAN, 9 JAN – Banjir yang melanda Pekan Chikus di Sungai Manik, Perak pada Ahad lalu disifatkan sebagai yang terburuk dalam sejarah kawasan tersebut.

Kali terakhir banjir berlaku di kawasan berkenaan pada tahun 1995, itu pun air naik sehingga paras lutut sahaja.

Bagaimanapun, menurut seorang penduduk Kampung Belt, Ahmad Jamhari Zainal Abidin, banjir yang melanda di kawasan itu pada Ahad lalu melebihi 1.5 meter.

“Kejadian berlaku sekitar jam 9 pagi di kawasan rumah saya dan kawasan kampung inin.

“Masa tu air terlalu cepat naik dan masa satu jam sahaja, daripada kira-kira paras lutut, mendadak ke paras dada.

“Saya sempat selamatkan barang-barang yang penting sahaja, yang lain tu, saya redha aje,” katanya.

Bapa kepada empat orang anak itu ditemui ketika gotong royong membersihkan rumahnya oleh sekumpulan sukarelawan pada Sabtu.

Banjir yang melanda kawasan tersebut sejak Ahad menyebabkan hampir 400 penduduk kampung dipindahkan ke dua pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Chikus dan Dewan MPTI Langkap.

Bagaimanapun, banjir semakin pulih dan kedua-dua PPS itu ditutup sepenuhnya pada Rabu dan Khamis.

Sementara itu, Yang Dipertua Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Cawangan Teluk Intan, Aimy Nabilla Mohamad Yusof, seramai 80 sukarelawan daripada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kelab sukan dan syarikat swasta berganding bahu untuk membantu mangsa yang terkesan.

“Pada Rabu lalu kami mengedarkan bantuan makanan yang disumbangkan pelbagai pihak dan hari ini kami turut serta membersihkan rumah mangsa, dewan dan sekolah agama,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Perak, Mohd Soufi Mohd Ibrahim berkata, selain daripada bencana banjir, pihaknya juga akan menggerakkan NGO belia dan sukan untuk membantu mangsa bencana-bencana lain di seluruh negeri.