PARIT BUNTAR – Kerajaan Harapan Perak mempertimbangkan cadangan mengadakan pertemuan dengan kumpulan penyokong Harapan yang membantah pelantikan bekas pemimpin BN dalam jawatan kerajaan negeri dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, pertemuan dirancang itu hanya akan direalisasikan sekiranya mendapat keizinan Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu bagi mengendurkan keresahan kumpulan penyokong Harapan susulan kebimbangan mereka kemungkinan berlaku senario ‘BN 2.0’ di dalam kerajaan Harapan Perak.

Exco Komunikasi, Multimedia, NGO dan Pembangunan Koperasi Negeri Perak, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim berkata, merujuk tuntutan kumpulan dikenali sebagai ‘Penyokong Harapan’ itu, pihaknya maklum terhadap keresahan mereka namun jangan sampai tindakan dibuat menganggu gugat kelancaran jentera kerajaan Harapan ketika ini.

Menurutnya, kerajaan Harapan Perak memberi jaminan tiada unsur pengkhianatan terhadap penyokong Harapan mungkin berlaku hanya kerana seorang bekas pemimpin BN dilantik jawatan penting kerajaan.

“Saya sedia maklum keresahan mereka disebabkan Adun Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin yang merupakan bekas pemimpin BN kini dilantik sebagai Penasihat Khas Menteri Besar Perak sebagaimana dimaklumkan Ahmad Faizal sebelum ini.

“Semua penyokong Harapan perlu menyedari lantikan Zainol Fadzi itu adalah atas persetujuan semua ahli Exco Kerajaan Negeri Perak dan bukan keputusan MB Perak semata-mata.

“Lagipun, kesemua kami bersetuju disebabkan lantikan dibuat atas merit sumbangan Zainol Fadzi menyokong Harapan untuk membentuk kerajaan melalui majoriti mudah,” katanya sewaktu merasmikan majlis pelancaran Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2018 Peringkat Daerah Kerian di sini hari ini.

Hasnul Zulkarnain berkata, berdasarkan senario semasa, andaian kemasukan Zainol Fadzi akan mengundang ‘BN 2.0’ ke dalam kerajaan baharu Harapan yang akhirnya merugikan penyokong pakatan itu adalah tidak logik.

Menurutnya, kemasukan seorang bekas pemimpin BN ke dalam pentadbiran kerajaan baharu tidak akan dapat mengenepikan suara majoriti sepuluh ahli Exco Kerajaan Negeri yang terdiri pemimpin parti-parti lain dalam Harapan.

“Saya harap penyokong Harapan di Perak memahami kepentingan kerajaan Harapan diperkukuhkan dengan sokongan wakil rakyat parti lain.

“Saya juga meminta mereka tidak terpedaya dakyah ‘cybertrooper’ Umno dan BN cuba memainkan sentimen kerajaan Harapan Perak bakal menjadi ‘BN 2.0’,” katanya – sinar