KUALA LUMPUR : Parti Gerakan melahirkan rasa syukur atas komitmen ramai pemimpin akar umbi DAP termasuk yang berjawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerana membantah cadangan pengenalan tulisan jawi khususnya di sekolah vernakular.

Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau bagaimanapun berharap kesemua pemimpin DAP itu dapat menjelaskan lebih lanjut apakah tindakan susulan akan diambil sekiranya bantahan mereka gagal.

Jelas beliau, sikap parti lawannya itu menunjukkan masih terdapat mereka di dalam DAP yang mempunyai hati nurani.

“Gerakan bersyukur apabila lebih 100 ADUN DAP dan pemimpin akar umbi mereka yang membantah pembelajaran tulisan jawi.

“Bagaimanapun, saya ingin mengingatkan bahawa mereka (DAP) sudah menjadi parti pemerintah. Tidak boleh lagi melakukan petisyen sepertimana pembangkang.

“Sebaliknya bertindak, mempengaruhi Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan untuk menghapuskan idea ini,” katanya dalam kenyataan hari ini,

Dilaporkan seramai 138 pemimpin akar umbi DAP, termasuk 13 ADUN membantah rancangan pelaksanaan seni khat dan tulisan jawi sebagai sebahagian mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat.

Dalam satu kenyataan bersama, kumpulan itu berkata pelajar sekolah vernakular sudah mempelajari ‘tiga bahasa dan tiga sistem penulisan’.

Kementerian Pendidikan menerusi kenyataan pada minggu lalu menjelaskan pengenalan tulisan khat adalah bagi memupuk gaya penulisan yang indah dan menegaskan perkara itu tidak berkaitan dengan tulisan jawi dan pelajar tidak dinilai di dalam peperiksaan.

 

Pemimpin DAP bantah tulisan khat di sekolah