KUALAL LUMPUR: Bekas perdana menteri Najib Razak, dan isterinya, Rosmah Mansor serta tiga daripada anak-anak mereka membantah tuntutan yang dibuat oleh pihak ketiga ke atas aset mereka yang dirampas tahun lalu.

Menurut peguam Syahirah Hanafiah, mereka akan memfailkan usul ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk meminta butiran barang-barang yang disita semasa satu siri serbuan oleh pihak berkuasa yang menjalankan siasatan ke atas kes berkaitan dengan 1MDB.

“Pengurusan kes pada hari ini pada dasarnya adalah mengenai perkara mengenai senarai (barangan rampasan) dan untuk mendapat perintah dari Hakim Mohamed Zaini (Mazlan).

“Walau bagaimanapun, kami membantah satu perkara, iaitu tuntutan pihak ketiga (ke atas barangan rampasan).

“Ini kerana buat responden pertama, Najib, pada dasarnya barang-barang yang disita itu adalah miliknya.

“Jadi kami membantah kerana barangan itu milik anak guam kami,” katanya ketika ditemui di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pagi ini.

Syahirah bercakap kepada Malaysiakini selepas pengurusan kes mengenai perkara itu selesai di hadapan Timbalan Pendaftar Catherine Nicholas.

Bulan lalu, Jabatan Peguam Negara memfailkan saman untuk melucuthakkan beratus-ratus barangan dan aset bernilai jutaan ringgit ke atas 19 individu dan syarikat.

Antara mereka yang dinamakan ialah Najib, Rosmah, dan anak-anak mereka Riza Aziz, Nor Ashman dan Nooryana Najwa. Turut dalam senarai itu adalah Goh Gaik Ewe, ibu kepada ahli perniagaan yang berkaitan dengan 1MDB, Low Taek Jho.

Barang-barang yang mahu dilucuthakkan oleh kerajaan itu, antara lain, termasuk 27 kenderaan, beg tangan, jam tangan dan wang tunai dalam pelbagai mata wang asing.

Susulan itu, Mahkamah Tinggi juga membenarkan permohonan kerajaan untuk mengeluarkan notis yang meminta mana-mana pihak ketiga yang mempunyai kepentingan aset yang disita berkenaan untuk memfailkan tuntutan mereka

-malaysiakini