IPOH: Kerajaan negeri akan memperuntukkan bantuan one-off berjumlah RM 150 kepada mahasiswa berasal dari Perak yang terkesan susulan penangguhan pendaftaran kemasukan pelajar baharu di Institusi Pengajian Awam dan swasta akibat penularan Covid-19.

Menurut Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil Perak, Razman Zakaria, bantuan one-off yang melibatkan peruntukan kira-kira RM 500,000 itu akan diputuskan dalam Mesyuarat Exco kerajaan negeri minggu ini.

“Kita cuba mengumpulkan sebanyak mungkin pelajar-pelajar negeri Perak yang terkesan dengan arahan ini.

“Seluruh mahasiswa dari negeri Perak dalam keadaan semasa lebih kurang 70,000 dan sekarang dalam tempoh 24 jam kita mendapat respon lebih dari 1,500 pelajar yang terkesan.

“Ada 85 IPTA dan IPTS yang berdaftar, kita boleh lihat ramai ibu bapa yang terkesan, terpaksa jual motor, gadai motor untuk hantar anak sebagainya tiba-tiba kena patah balik akibat penangguhan pendaftaran,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Isnin.

Katanya lagi, inisiatif itu juga dilakukan bersama di antara kerajaan negeri dan Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung dan Majlis Perundingan Mahasiswa.

Katanya, sehinga kini pihaknya sedang mengumpulkan jumlah pelajar kelahiran Perak yang terkesan akibat penangguhan pendaftaran di IPTA dan IPTS baru-baru ini.

Razman berkata, antara permohonan yang dikemukakan oleh mahasiswa yang terkesan setakat ini seperti pemulangan bayaran deposit sewa rumah, tiket pengangkutan dan bantuan data internet mudah alih.