IPOH – Penyakit kulit, gangguan pernafasan dan sakit kepala antara masalah kesihatan yang boleh dihidapi sekiranya longgokan sampah plastik seperti ditularkan media antarabangsa di Kawasan Perindustrian IGB di Tasek, tidak diurus dengan baik.

Exco Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia, A Sivanesan berkata, daripada kesan itu, penyakit kulit adalah paling berisiko tinggi memandangkan sampah berkenaan disimpan dalam tempoh lama.

“Setakat ini kita tidak menerima apa-apa aduan rasmi daripada penduduk mengenai masalah kesihatan yang disebabkan longgokan sampah di kawasan itu.

“Bagaimanapun, saya telah mengarahkan pegawai dan anggota kesihatan untuk turun ke kawasan bagi mendapatkan maklum balas daripada penduduk setempat,” katanya.

Pihaknya memandang serius isu berkenaan dan akan bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk memantau keadaan di situ.

“Saya dimaklumkan, ia beroperasi secara sah dan mendapat kebenaran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), sekiranya terdapat pelanggaran syarat lesen, sudah pasti tindakan tegas akan diambil,” katanya.

Media Britain didakwa melaporkan berlaku lambakan plastik sampah dalam satu kawasan pedalaman hutan di Perak, tuduhan itu dinafikan Jabatan Alam Sekitar dan menyatakan bahawa longgokan sampah ditularkan itu sebenarnya dikumpul di tapak sebuah syarikat memproses sampah sebagai bahan bakar.

Terdahulu Sivanesan ditemui pada majlis penyampaian faedah kewangan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Perkeso Ipoh bagi tahun 2019 di Wisma Perkeso Perak.

Dalam majlis itu, 18 orang berinsurans yang dirujuk menerima Elaun Mencari Pekerjaan (EMP) melibatkan jumlah keseluruhan RM36,862.67.

Mengulas lanjut, beliau berkata, statistik setakat Mei ini, seramai 15,185 orang berinsurans di seluruh negara telah menerima bayaran dari SIP.

Daripada jumlah itu katanya, 678 individu merupakan dari negeri Perak dan seramai 148 orang telah kembali bekerja selepas mereka menyertai program penempatan pekerjaan semula.

Hadir sama, Pengarah Perkeso negeri, Anthony Arul Dass – sinar harian