PARIT BUNTAR – Tindakan pantas anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Parit Buntar menyelinap masuk sebuah rumah terbakar di Taman Kerian Permai, di sini tengahari tadi berjaya menyelamatkan nyawa dua anak-beranak daripada menjadi rentung.

Dalam kejadian jam 12 tengahari itu, mangsa Khor Lip Teck,15, dikatakan sedang bersendirian di sebuah rumah dua tingkat itu, manakala ibu dan bapanya berada di luar dan dipercayai sedang dalama perjalanan pulang sewaktu kejadian berlaku.

Ibu saudara mangsa yang enggan dikenali berkata, sewaktu kejadian berlaku, mangsa dipercayai baru selesai mandi di bilik tidurnya di bahagian tingkat atas rumah.

Menurutnya, anak saudaranya yang bakal menduduki peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) tidak lama lagi kemudiannya terkejut setelah mendapati kepulan asap mula memenuhi bilik tidurnya di tingkat atas rumah sebaik dia membuka pintu untuk turun ke tingkat bawah.

“Kepulan asap tebal itu dipercayai berpunca dari bilik tidur tingkat bawah rumah yang terletak berhampiran dengan bahagian dapur.

“Anak saudara saya yang tergamam dengan keadaan asap tebal meliputi biliknya, dipercayai cuba mencari jalan untuk keluar dari rumah namun tidak berjaya kerana terperangkap dalam asap tersebut,” katanya sewaktu ditemui media di lokasi kejadian di sini hari ini.

Ibu saudara mangsa berkata, dalam masa sama, abang dan kakak iparnya sempat pulang ke rumah secara kebetulan dan terkejut mendapati asap tebal memenuhi bahagian kanan rumah mereka.

Menurutnya, mereka lantas teringatkan anak mereka yang masih terperangkap di tingkat atas rumah dan tanpa berfikir panjang, abangnya segera meluru masuk ke dalam rumah untuk menyelamatkan mangsa.

“Bagaimanapun, usaha abang saya untuk mencari anak lelakinya tidak kesampaian apabila asap tebal menghalang penglihatannya, malah turut membataskan pergerakannya bagi menyelamatkan diri.

“Mujur anggota bomba sempat tiba ke lokasi kejadian dalam masa singkat dan berjaya membawa keluar dengan kedua-dua anak beranak terbabit dengan menurunkan mereka menggunakan tangga dari tingkat atas rumah,” katanya.

Ibu saudara mangsa berkata, susulan terhidu banyak asap tebal kebakaran, anak saudaranya mengalami kesukaran bernafas dan bercakap dan terpaksa dibawa ke Hospital Parit Buntar dengan menggunakan ambulans untuk rawatan lanjut.

Menurutnya, keadaan abangnya pula stabil dan tidak mengalami sebarang kecederaan sebaik sahaja diselamatkan.

“Anggota bomba bertugas kemudiannya bertindak memadamkan api kebakaran rumah itu dalam masa singkat.

“Di sebalik kejadian malang menimpa, kami bersyukur tindakan pantas bomba berjaya menyelamatkan dua nyawa ahli keluarga kami daripada menjadi mangsa kebakaran,”katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat(BBP) Parit Buntar, PBK I Ahmad Rossyed Isa memberitahui pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian itu jam 12.20 tengahari.

Dibantu jentera BBP Bagan Serai, Ahmad Rossyed menegaskan operasi pemadaman dan penyelamatan mangsa dilaksanakan dalam masa singkat.

“Setibanya di lokasi kejadian, kami mendapati berlaku kebakaran melibatkan rumah dua tingkat.

“Kedua-dua mangsa yang dipercayai berada dalam rumah terbabit sewaktu kejadian berlaku berjaya diselamatkan dan seorang daripadanya dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya.