BRIDGETOWN: Barbados umum hasrat menyingkirkan Ratu Elizabeth II sebagai ketua negara, sekali gus menjadi sebuah republik.

Kerajaan negara pulau itu ingin mencapai matlamatnya menjelang sambutan kemerdekaan ke-55 pada November 2021.

Dalam satu ucapan oleh Gabenor Jeneral Dame Sandra Mason yang ditulis oleh Perdana Menteri Mia Mottley, beliau menegaskan bahawa sudah tiba masanya negara itu meninggalkan era penjajahan.

Barbados juga ingin mengambil langkah signifikan terhadap kedaulatan menyeluruh dengan memilih seorang pemimpin warga Barbados.

“Sudah tiba masanya untuk kita meninggalkan sejarah penjajahan. Rakyat Barbados ingin seorang ketua negara warga Barbados.

“Ini adalah satu kenyataan yang penuh keyakinan dengan diri kita dan apa yang boleh kita capai.

“Justeru, Barbados akan mengambil langkah wajar terhadap kedaulatan secara menyeluruh dan menjadi sebuah republik menjelang sambutan hari kemerdekaan ke-55,” katanya.

Ratu Elizabeth II menjadi ketua negara Barbados sejak kemerdekaannya pada 1966.

Bagaimanapun, idea untuk memilih pemimpin warga Barbados bukan idea baharu.

Lapor BBC, seorang sumber dari Istana Buckingham memaklumkan bahawa idea tersebut tidak mengejutkan dan telah dibincangkan secara terbuka sebelum ini.

Ratu Elizabeth merupakan ketua negara di beberapa negara Caribbean lain termasuk Antigua and Barbuda, Bahamas, Belize, Grenada, Jamaica, Saint Kitts and Nevis, Saint Lucia dan St Vincent.