Barcelona menjual penyerang Luis Suarez kepada seteru LaLiga, Atletico Madrid, dengan harga €6 juta (RM29.2j) yang bergantung kepada beberapa syarat, demikian Blaugrana mengesahkan.

Pemain berusia 33 tahun itu dalam tahun terakhir kontraknya di Camp Nou dan menghadapi masa depan yang tidak menentu sejak akhir musim lalu.

Semalam, Atletico bersetuju untuk melepaskan Alvaro Morata ke Juventus secara pinjaman sekali gus membuka jalan buat Suarez untuk disenaraikan dalam skuad kendalian Diego Simeone.

16 gol dalam 22 perlawanan yang direkodkan Suarez pada musim lalu merupakan jaringan terendahnya sejak tiba dari Liverpool pada 2014.

Pemain antarabangsa Uruguay itu menempuhi karier yang gemilang apabila memenangi empat gelaran liga termasuk Liga Juara-Juara (UCL) dalam koleksi 13 piala yang diraihnya sepanjang enam musim bersama Barca.

Tahun terbaiknya menjelma pada 2015-16 yang menyaksikannya menyumbat 59 gol dalam semua kejohanan — jumlah yang lebih tinggi ketika membentuk gandingan ‘MSN’ di samping Lionel Messi dan Neymar.

Pada awalnya penggempur itu dijangka meninggalkan Barca dengan percuma sebelum gergasi Catalan terbabit mengubah fikiran apabila mengenakan yuran berdasarkan beberapa syarat.

Suarez, yang akan mengadakan sidang berita hari ini sempena perpisahannya, di kedudukan ketiga senarai penjaring terbanyak sepanjang zaman buat Barcelona — ​​di belakang Lionel Messi dan Cesar yang telah meledak 198 gol selain 97 bantuan jaringan dalam 283 perlawanan.